Thursday 25 February 2016

MINGGU BAHASA MELAYU 2016





Panitia Bahasa Melayu SK Batu Gajah telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 22 hingga 25 Februari yang lalu. Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama empat hari tersebut. Pn. Saedah selaku Ketua Panitia Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali pada 22 Februari 2016. En. Md Yusof, Guru Penolong Kanan Kokurikulum dalam ucapan perasmian beliau telah memuji usaha yang dijalankan oleh Panitia Bahasa Melayu telah mengambil langkah proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain memberi pendedahan serta peluang kepada murid-murid untuk menunjukkan bakat dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Sebagai gimik pelancaran, majlis telah diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak oleh wakil murid tahun 6.  Sajak yang didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi. Pada hari tersebut juga telah diadakan teka silang kata bagi tahap 1 dan tahap 2. Permainan teka silang kata merupakan antara kaedah pembelajaran bahasa melalui permainan. Permainan ini bertujuan meningkatkan kemahiran berfikir dan daya kreativiti murid seterusnya dapat meningkatkan penguasaan kosa kata murid.
            Pada 23 Februari 2016, Pertandingan Pintar Mengeja dan Pertandingan Pintar Pantun telah dijalankan.  Pertandingan seperti ini dapat menyemai semangat daya saing sesama murid-murid seterusnya meningkatkan penguasaan berbahasa di kalangan mereka.
Pada 24 Februari 2016, Pertandingan Cerita Teladan dan Tulisan Cantik telah diadakan. Pertandingan Cerita Teladan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu selain mencungkil bakat murid dalam bidang bercerita. Manakala bagi Pertandingan Tulisan Cantik pula bertujuan untuk melihat penguasaan murid dari segi tulisan dan seterusnya dapat melatih murid untuk menulis dengan baik dan kemas.
Pada 25 Februari 2016,  Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. En. Md Yusof, GPK Kokurikulum telah sudi merasmikan majlis penutupan ini. Beliau melahirkan harapan agar program-program sebegitu diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh murid-murid. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Aktiviti diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat kepada murid-murid untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
Pada keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2016 telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Panitia Bahasa Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama empat hari berturut-turut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik

Disediakan oleh,                                                                 

………………………………….                                       
(Cik Nur Atiqah binti Zakariah)
AJK Dokumentasi Bahasa Melayu
SK Batu Gajah

0 comments:

Post a Comment