Monday 16 February 2015

Majlis Perjumpaan Bersama Ibu Bapa dan Penjaga Murid PPKI SK Batu Gajah



Nama Program : Majlis Perjumpaan Bersama Ibu Bapa dan Penjaga Murid PPKI SK Batu Gajah Tarikh : 23 Januari 2015 (Jumaat)
Tempat : Makmal Komputer SK Batu Gajah
Anjuran : Program Pendidikan Khas Integrasi (Pembelajaran) SK Batu Gajah

1. Objektif :
i. Memberi pendedahan dan menambah pengetahuan kepada ibu bapa dan penjaga murid PPKI mengenai aktiviti program pendidikan khas
ii. Mengeratkan hubungan di antara pihak pengurusan sekolah dengan ibu bapa dan penjaga bagi meningkatkan tahap pendidikan anak-anak berkeperluan khas.

2. Sasaran :
Semua ibu bapa dan penjaga murid-murid PPKI SK Batu Gajah

3. Tentatif Program
08.00 pagi :
- Pendaftaran
- Taklimat oleh Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (Puan Hajjah Zaiton Binti Mohammad)
- Lantikan AJK Badan Kebajikan Sesi 2015

09.45 pagi : Rehat

10.00 pagi :
- Majlis Bersama Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Tayangan Multimedia
- Ucapan Guru Penolong Kanan HEM En. Ab. Rahim Bin Othman
- Sesi soal jawab
- Penyampaian Cenderahati
- Menandatangani Rancangan Pengajaran Individu (RPI)

12.00 Tengahari : Bersurai


Laporan Aktiviti 

Majlis perjumpaan ibu bapa murid-murid pendidikan khas telah diadakan pada 23 Januari 2015 iaitu pada hari Jumaat. Majlis berlansung di Makmal Sekolah Kebangsaan Batu Gajah. Majlis bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis. Seterusnya majlis diteruskan dengan taklimat oleh Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Hajjah Zaiton Binti Mohammad. Beliau telah menyampaikan pelbagai perkara kepada ibu bapa yang merangkumi bidang akademik, hal ehwal murid dan kokurikulum. Beliau turut memaklumkan mengenai perancangan aktiviti sepanjang tahun 2015. Di samping itu Puan Hajjah Zaiton Binti Mohammad juga telah membentangkan penyata kewangan Elaun Murid Khas (EMK) bagi tahun 2014.

Selesai taklimat oleh Puan Hajjah Zaiton Binti Mohammad telah diadakan pelantikan Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan bagi sesi 2015 yang dipengerusikan oleh Cik Hajjah Khadijah Binti Jusin selaku Penyelaras Program Pendidikan Khas SK Batu Gajah. Para hadirin telah sebulat suara untuk melantik Encik Nazir Bin Borhan selaku Pengerusi Badan Kebajikan bagi sesi 2015. Dalam ucapannya beliau mengharapkan agar organisasi yang dibentuk itu dapat merancang program yang terbaik dan berjalan lancar. Pada jam 9.45 pagi majlis ditangguh seketika untuk memberi ruang kepada ibu bapa dan guru menandatangani borang Rancangan Pengajaran Individu (RPI). Ibu bapa dan penjaga telah dihidangkan dengan jamuan ringan sementara menunggu acara diteruskan.

Sesi taklimat bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin iaitu Puan Azlinda Binti Aziz bermula pada pukul 10.30 pagi. Acara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Encik Mohd Farid Bin Ab Rashid. Kemudian para hadirin dipersembahkan dengan tayangan multimedia yang memaparkan aktiviti-aktiviti Program Pendidikan Khas Integrasi (Pembelajaran) SK Batu Gajah sepanjang tahun 2014 hingga kini. Tayangan multimedia tersebut telah diilhamkan oleh Cik Nur Atiqah Binti Zakariah dengan kerjasama semua warga PPKI SK Batu Gajah. Acara diteruskan dengan ucapan daripada Encik Ab Rahim Bin Othman selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Batu Gajah.

Selesai ucapan daripada wakil pentadbir, tetamu jemputan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin iaitu Puan Azlinda Binti Aziz telah menyampaikan ucapan beliau. Pelbagai info telah disampaikan antaranya mengenai kepentingan Elaun murid Khas (EMK) dan juga kad OKU. Beliau juga menyatakan bahawa setiap ibu bapa harus berbangga dengan anak-anak istimewa ini. Beliau turut berbesar hati untuk merasmikan majlis pada hari tersebut. Pihak sekolah telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada Puan Azlinda Binti Aziz atas kesudian beliau meluangkan masa sekali gus merasmikan taklimat tersebut Majlis tamat pada pukul 12.00 tengah hari.

Kesimpulan

Program seumpama ini dilihat sebagai satu agenda penting dalam memastikan anak-anak istimewa terus mendapat pendidikan sempurna selaras dengan tuntutan agama. Diharapkan taklimat bersama ibu bapa ini dapat memberikan input yang bermanfaat dan perkongsian yang bermakna dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.Justeru semua pihak harus berganding bahu bagi mencapai visi dan misi yang dicitakan.

Disediakan oleh,
WAN NUR FARIZA BT WAN MUSTAFFA)
AJK Dokumentasi,
PPKI SK Batu Gajah.

0 comments:

Post a Comment