Panitia
Bahasa Melayu SK Batu Gajah telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai
salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 22 hingga 25 Februari yang lalu.
Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama empat
hari tersebut. Pn. Saedah selaku Ketua Panitia Bahasa Melayu bersama dengan
guru-guru penasihat yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik
sepanjang minggu Bahasa Melayu ini berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa
Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali pada 22 Februari 2016. En.
Md Yusof, Guru Penolong Kanan Kokurikulum dalam ucapan perasmian beliau telah
memuji usaha yang dijalankan oleh Panitia Bahasa Melayu telah mengambil langkah
proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain memberi pendedahan serta
peluang kepada murid-murid untuk menunjukkan bakat dalam aktiviti-aktiviti yang
dirancang.
Sebagai
gimik pelancaran, majlis telah diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak
oleh wakil murid tahun 6. Sajak yang
didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan
bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai
medium untuk berkomunikasi. Pada hari tersebut juga telah diadakan teka silang
kata bagi tahap 1 dan tahap 2. Permainan teka silang kata merupakan antara kaedah
pembelajaran bahasa melalui permainan. Permainan ini bertujuan meningkatkan kemahiran
berfikir dan daya kreativiti murid seterusnya dapat meningkatkan penguasaan
kosa kata murid.
Pada 23 Februari 2016, Pertandingan
Pintar Mengeja dan Pertandingan Pintar Pantun telah dijalankan. Pertandingan seperti ini dapat menyemai
semangat daya saing sesama murid-murid seterusnya meningkatkan penguasaan
berbahasa di kalangan mereka.
Pada
24 Februari 2016, Pertandingan Cerita Teladan dan Tulisan Cantik telah
diadakan. Pertandingan Cerita Teladan ini diadakan bertujuan menguji
pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu selain mencungkil bakat
murid dalam bidang bercerita. Manakala bagi Pertandingan Tulisan Cantik pula
bertujuan untuk melihat penguasaan murid dari segi tulisan dan seterusnya dapat
melatih murid untuk menulis dengan baik dan kemas.
Pada
25 Februari 2016, Majlis Penutupan Rasmi
Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. En. Md Yusof, GPK Kokurikulum telah sudi
merasmikan majlis penutupan ini. Beliau melahirkan harapan agar program-program
sebegitu diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh
murid-murid. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti
oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Aktiviti diteruskan dengan majlis
penyampaian hadiah kepada para pemenang. Diharapkan hadiah yang diterima
menjadi penyuntik semangat kepada murid-murid untuk lebih berjaya pada masa
akan datang.
Pada
keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2016 telah dapat dijalankan dengan jayanya
hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Panitia Bahasa
Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama empat hari berturut-turut telah
berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan
pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras
dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat
diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik
Disediakan
oleh,
………………………………….
(Cik
Nur Atiqah binti Zakariah)
AJK
Dokumentasi Bahasa Melayu
SK
Batu Gajah
0 comments:
Post a Comment